HIDAYAH ALLAH
Syukur alhamdulillah.Semalam adalah hari yang paling bermakna dalam hidupku. Semalam juga hari kemenangan bagi aku dan umat muslim secara keseluruhan. Di saat umat Islam di landa krisis identiti dan bencana murtad, aku telah menyaksikan seorang hamba Allah mengucapkan dua kalimah syahdah. Hamba Allah ini adalah rakan sekampung sejak dari kecil. Kami satu rumah panjang di Sarawak. Aku mengucapkan berbanyak terima kasih atas usaha isteri tersayang membantu usaha dakwahku. Setelah bertahun memeluk agama Islam yang indah ini, aku hampir menitiskan air mata apabila rakan sepermainanku mengaku bahawa tidak ada tuhan selain Allah dan mengaku bahawa nabi Muhamad itu rasul Allah.Bersaksikan seorang ustaz dari Jabatan Agama Islam Johor serta dihadiri oleh beberapa saudara baru yang lain rakanku ini telah memeluk Islam. Aku sangat terharu. Aku bersyukur kepada Allah kerana memberi hidayah dan petunjuk kepada hamba yang dipilihNya. Aku bertekad dalam hati untuk mengukuhkan Islam ku dan keluargaku. Aku bertekad untuk meneruskan usaha dakwah selepas ini. Aku menanam azam yang kuat untuk menjadi seorang muslim yang sejati. Semoga Allah s.w.t memberi hidayah dan menganugerahkan keampunan ke atas dosa-doas kita semua. Aminn!